a) Kepercayaan Kepada Tuhan
Kita Semua menyedari bahawa kepercayaan kepada tuhan amatlah penting dalam kehidupan seseorang bahkan kepada negara dan negara. Hal ini kerana, agama menjadi panduan hidup untuk membentuk keperibadian yang baik dan landasan membina keharmonian kaum. Di Malaysia, agama Islam ialah agama rasmi persekutuan dan ditetapkan dalam Perlembagaan Malaysia. Walaupun demikian, agama lain bebas diamalkan. Dengan itu, kita perlulah saling menghormati dan bertoleransi dalam aspek keagamaan. Selain daripada itu, ketiadaan agama boleh meruntuhkan kehidupan seseorang dan suatu negara. Menyedari betapa pentingnya agama dalam diri manusia dan negara, prinsip ini telah dijadikan sebagai prinsip pertama dalam Rukun Negara.
b) Kesetiaan Kepada Raja dan Negara
Malaysia mengamalkan Sistem Demokrasi Parlimen dan Raja Berpelembagaan dan Yang Dipertuan-Agong sebagai ketua negara. Melaluinya, raja menjadi simbol perpaduan dan penyatuan rakyat berbilang kaum. Lain dari itu, kesetiaan kepada raja dan negara juga bertujuan melahirkan rakyat yang menghormati simbol kedaulatan negara dan mematuhi undang-undang. Hal ini adalah juga bertujuan, untuk meningkatkan imej negara, berani dalam mempertahankan hak dan mempunyai ciri patriotisme yang teguh.
c) Keluhuran Perlembagaan
Prinsip ini bermaksud ketertinggian dan keagungan perlembagaan atau undang-undang. Hal ini kerana, perlembagaan memberikan kita perlindungan dan hak kepada setiap anggota masyarakat. Hal ini dapat memberikan penekanan kepada kita supaya menerima, mematuhi dan mempertahankan kemuliaan perlembagaan. Untuk pengetahuan anda juga, perlembagaan negara dicipta oleh kesepakatan dan kerjasama antara kaum di negara ini. Kesannya, keluhuran perlembagaan merupakan kontrak sosial yang tidak boleh dipersoalkan dan diubah oleh mana-mana individu.
d) Kedaulatan Undang-Undang
Setiap rakyat dituntut menghormati undang-undang dan tidak melakukan kesalahan. Kita juga diseru supaya mempertahankan dan memelihara kedaulatan undang-undang supaya tidak dicabar oleh mana-mana pihak. Hal ini dapat membentuk kehidupan yang aman dan harmoni.
e) Kesopanan dan Kesusilaan
Setiap rakyat perlu bersopan santun, hormat menghormati dan berakhlak mulia. Prinsip dapat menjamin wujudnya hubungan baik antara kaum. Prinsip ini menjadi garis panduan yang boleh dijadikan sebagai amalan dalam setiap diri rakyat Malaysia. Dari sudut lain, prinsip ini dapat melahirkan suasana yang harmoni dan saling bertolak ansur.
Prinsip-prinsip Rukun Negara penting dalam usaha mengukuhkan perpaduan rakyat Malaysia dan memerlukan kesungguhan dan rasa tanggungjawab daripada semua pihak.
No comments:
Post a Comment